Thursday, July 28, 2011

WORLD CUP QUALIFIER

KUALA LUMPUR,(D5) - Skuad Harimau Malaya gagal mara ke peringkat seterusnya pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Singapura malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal tersingkir menerusi agregat 6-4 selepas kalah 5-3 pada perlawanan pertama pusingan kedua di Singapura Sabtu lalu.
Mohd Safee Mohd Sali menceriakan 90,000 penonton dengan memberi harapan untuk mengatasi defisit dua gol apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57.
Keghairahan pasukan negara untuk mencari ruang dan peluang membolosi benteng pertahanan Singapura nyata meleset apabila pasukan lawan mengatur gerakan pantas bagi mematahkan semangat juang pemain negara.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan dengan menepis serangan bahaya barisan penyerang Singapura.
Keazaman pemain negara untuk menambah gol kedua membawa padah apabila Shi Jiayi membuat gerakan solo selepas menerima hantaran sepakan percuma dari tengah padang untuk mengatasi tiga pemain pertahanan negara sebelum menyumbat gol penyamaan Singapura pada minit ke-72.
Gol tersebut memberi tekanan buat skuad Rajagobal yang memerlukan dua jaringan lagi mengurangkan defisit gol.
Namun semangat Malaysia tidak luntur apabila mengatur beberapa serangan menerusi S.Kunanlan, Safee Sali dan pemain gantian, Ahmad Fakhri Saarani namun penyudah yang tumpul gagal membuahkan sebarang hasil.
Singapura kelihatan ingin melengah-lengahkan masa dengan beberapa pemainnya dilihat mengalami kecederaan.
Malang bagi Ahmad Fakhri Saarani apabila dilayangkan kad merah pada masa tambahan kerana didakwa mengasari pemain lawan untuk menjadikan pasukan negara bermain 10 orang pada minit-minit terakhir hingga wisel penamat ditiup oleh pengadil dari Jepun Takayama Hiroyoshi.

No comments:

Post a Comment